KELAB CMM

Home » » Botol Susu Polikarbonat Yang Mengandungi Bisphepnol A Diharamkan!! Home » » Botol Susu Polikarbonat Yang Mengandungi Bisphepnol A Diharamkan!!

Botol Susu Polikarbonat Yang Mengandungi Bisphepnol A Diharamkan!!

| Posted in | Posted on 9:41 PTG

Berikut merupakan kenyataan akhbar daripada Kementrian Kesihatan Malaysia mengenai pengharaman penjualan botol susu Polikarbonat yang mengandungi Bisphepnol A.




Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Mac 2011 telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA).

Dimaklumkan bahawa penguatkuasaan pengharaman penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2012. Tindakan pengharaman ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan pihak industri diberi tempoh masa satu (1) tahun untuk membuat persediaan bagi keperluan pertukaran atau pembelian mesin dan penggunaan bahan mentah yang sesuai.
Keputusan pengharaman ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa botol susu polikarbonat yang mengandungi BPA adalah selamat untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi terutamanya bayi dan kanak-kanak.

Tindakan ini juga dibuat dengan mengambil kira BPA yang telah diketahui boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekali gus mengganggu sistem fungsi tubuh dan sehingga kini tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi. Ini mewujudkan keadaan yang tidak pasti serta tiada jaminan keselamatan bagi bayi yang terdedah kepada BPA.

Di samping itu, pemantauan secara berterusan oleh KKM mendapati terdapat migrasi BPA daripada botol-botol susu bayi polikarbonat yang telah diuji. Sehingga tahun 2010, sebanyak 159 sampel botol susu bayi telah dianalisis dan didapati 85% dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil migrasi daripada botol berkenaan. Kajian oleh Universiti Malaya menunjukkan kadar migrasi meningkat sebanyak tujuh (7) kali ganda pada suhu 80ºC berbanding pada suhu bilik 25ºC.

Pengharaman yang diambil ini adalah selaras dengan tindakan beberapa buah negara lain. Negara-negara yang telah mengambil langkah awal mengharamkan penjualan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA adalah Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand dan negeri New York di Amerika Syarikat. Perkembangan terkini adalah pengumuman pengharaman botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi BPA oleh pihak Kesatuan Eropah.

KKM tidak akan berkompromi dalam keselamatan pengguna terutamanya bayi dan kanak-kanak. Pengharaman ini dapat melindungi keselamatan kumpulan berisiko tinggi seperti bayi dan kanak-kanak sehingga terdapat maklumat yang kukuh berhubung keselamatan penggunaan BPA bagi botol susu bayi. 

Dalam tempoh masa satu (1) tahun ini, pengguna perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada migrasi BPA berdasarkan panduan penggunaan botol susu bayi polikarbonat yang disarankan oleh KKM. Namun begitu, pengguna boleh membuat pilihan awal dengan menukarkan botol susu bayi polikarbonat kepada alternatif yang terdapat di pasaran mengikut kemampuan masing-masing.

Sekiranya pengguna perlu maklumat lanjut, hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833652/88833653/88833655 atau melayari laman web http://www.moh.gov.my/ atau http://fsq.moh.gov.my. 


DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
14 MAC 2011 

Comments (0)

Catat Ulasan

Link exchange: